Analisis Wacana

       Tautan atau kohesi
Tautan atau kohesi ialah keserasian hubungan antara satu unsur linguistik dengan unsur linguistik yang lain dalam sesebuah wacana untuk menghasilkan wacana yang mantap.
Keserasian hubungan ini lazimnya dilihat melalui hubungan antara sesuatu perkataan, frasa atau ayat dengan perkataan, frasa atau ayat lain yang terdapat dalam wacana tersebut.
Kohesi juga merujuk kepada idea atau esei yang dijalin rapi hingga menjadi bersepadu.
Kohesi juga dikenali sebagai tetenunan, tautan, kepaduan dan sebagainya.

Contohnya:
1. Syazwani, Siti dan Faiznur ke perpustakaan.
2. Mereka ke sana untuk meminjam buku.
Kedua-dua ayat  di atas mempunyai tautan dan ia dianggap sebagai wacana.

      Teori Interteks
Sedang menekuni teori interteks. Kata Bakhtin (1986:106-7) bahawa setiap proses pengkaryaan akan mengalami Dialogika ialah kemasukan unsur-unsur luar dalam sesebuah karya sastera. Seorang pengarang menulis untuk menyampaikan sesuatu subjek, tema atau pemikiran kepada pembaca . Namun begitu semua hanya dapat dicerna menjadi karya sastera dengan bantuan unsur-unsur luaran iaitu apa saja yang dapat memberi sumbangan kepada pembinaan sebuah karya sastera

Hal ini agak selari dengan apa yang telah saya rakamkan di dalam buku Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi (2003) Sebuah karya lahir dengan cetusan idea seorang pengarang. Hal ini boleh disifatkan sebagai situasi yang melahirkan puisi. Sebuah karya adalah pendapat penyair tentang sesuatu. Idea tercetus di dalam pemikiran apabila berhadapan dengan situasi-situasi tertentu. Cetusan-cetusan idea ini boleh dianggap sebagai benih yang akan menumbuhkan puisi. Biasanya benih puisi itu terjadi bukan dari satu sumber sahaja. Ia merupakan perkahwinan atau adunan beberapa situasi. Sajak “Melaka” (Keberangkatan 1985:35), lahir ketika melawat ke kota A.Famosa dan digerakkan oleh pembacaan mengenai sejarah bangsa yang memilukan.
Ketika membaca karya-karya orang lain atau menonton teater mungkin terjadi sentuhan-sentuhan yang memberangsangkan pemikiran. Sajak-sajak juga mendapat cetusan dari cerita-cerita rakyat, legenda, hikayat dan sebagainya. Biasanya karya-karya dan cerita-cerita ini memberi makna kepada isu-isu yang dihadapi masa kini. (hal 90)
Drama, puisi atau novel pengarang dunia seperti William Shakespeare dan Samuel Beckett telah juga member cetusan rasa kepada saya dan beberapa orang pengarang Malaysia. Baris-baris terkenal Shakespeare All the World’s a stage/ men and women are merely players sering terngiang-ngiang dan bergema dalam karya-karya penulis Malaysia. Baris-baris ini telah mencetuskan sajak “Di Atas Pentas Yang Kosong” (Di Sini Tiada Perhentian 1977:8). Sajak ini bernada putus asa seperti kebiasaan sajak-sajak saya yang ditulis pada tahun 70-han. Watak aku di atas pentas memprotes peranannya terpengaruh juga dengan drama ‘Protes’ karya Dinsman.

Saat ini aku seorang pelakon
Di atas pentas yang kosong
Tirai telah lama ditutup
Penonton-penonton telah lama pulang
Sedang aku terus beraksi
Mengulang-ulang baris kegemaranku
“Tuhan, terima kasih tuhan
Oh terima kasih tuhan
Kerana kau telah memberikan segala-galanya
Kecuali sesuatu yang paling kuingini”

Imej manusia dan pentas digunakan lagi ketika berasa sedih di atas pemergian tokoh drama Salim Bachik. Ketika itu saya berada di Universiti Malaya dan beliau memimpin kami dalam SEKAUM (satu kumpulan kesenian Kakitangan Universiti Malaya). Melalui sajak Mengenang Salim Bachik saya juga berdialog dengan kata-kata Shakespeare bahawa dunia adalah sebuah pentas. Manusia adalah pelakon pentas atau pelakon sandiwara. Jadi kehidupan dikaitkan dengan sebuah pementasan atau sandiwara. Saya menambah bahawa sandiwara bukanlah sekadar permainan.


       Runtutan
Runtutan atau koheren Runtutan atau koheren merupakan kesinambungan idea yang terdapat dalam sesebuah wacana sehingga menjadikan sesebuah teks itu bermakna. Oleh itu, runtutan merupakan asas dalam pembinaan wacana kerana sesuatu teks itu dianggap sebagai wacana jika teks tersebut mempunyai makna.

Contohnya: Penyakit sindrom kurang daya tahan atau Aids bukanlah gejala yang baharu. Penyakit ini telah lama dikesan di beberapa buah Negara di Eropah. Walaupun bidang sains dan teknologi berkembang maju, tetapi masalah ini masih tidak dapat diatasi. Contoh di atas jelas menunjukkan kesinambungan idea melalui perkataan Aids, gejala, penyakit dan masalah ini. Kesinambungan idea ini telah menjadikan ayat-ayat tersebut bertaut di antara satu sama lain untuk membentuk wacana yang bermakna. Kebanyakan wacana mempunyai tautan untuk menjadikannya runtut. Walau bagaimanapun, teks yang bertaut tidak semestinya runtut.


      Struktur Maklumat dan Struktur Tema
Setiap wacana mempunyai maklumat.
Maklumat terdiri daripada dua jenis, iaitu maklumat lama dan maklumat baharu.
Maklumat lama ialah maklumat yang telah dinyatakan terdahulu.
Maklumat baharu pula ialah maklumat yang baru sahaja dinyatakan dengan andaian pendengar atau pembaca tidak mengetahui maklumat itu sebelum ini.
Contohnya:
(1) Puan Rita mengajar di sekolah menengah.
(2) Sekolah itu sekolah berasrama penuh.
Sekolah itu dalam ayat (2) merupakan maklumat lama kerana telah dinyatakan dalam ayat sebelumnya. Sekolah berasrama penuh ialah maklumat baharu kerana baru disebutkan dalam ayat itu.

Manakala struktur tema menurut pendapat Halliday merupakan salah satu struktur yang bercirikan amanat. Kemudian, menurut Sanat Md. Nasir, struktur tema dilihat sebagai sesuatu yang mencirikan klausa sebagai amanat. Menurutnya lagi, klausa sebagai struktur amanat terdiri daripada tema dan rema. Dengan ini dapat disimpulkan bahawa struktur tema mempunyai dua bahagian , iaitu tema dan rema.

Sumber: Buku Analisis Wacana berdasarkan Teks Komsas terpilih Oleh Mohd Rashid, Norliza Jamaluddin, Abu Hassan Abdul dan Adenan Ayob.

Ciri Keadaan
Keadaan ialah latar sewaktu bahasa itu digunakan, dan membantu pendengar atau pembaca memahami sesuatu wacana. Ungkapan “Sila masuk”, misalnya, difahami kerana digunakan dalam keadaan latar seseorang mempelawa seorang lain masuk ke dalam bilik atau rumahnya.

Dalam kehidupan sehari-hari terdapat pelbagai jenis latar, misalnya latar rumah tangga, latar tempat kerja, latar tempat membeli-belah, latar berekreasi, latar beribadat, dan bermacam-macam lagi. Setiap latar menghasilkan wacana tersendiri.
Tiap-tiap wacana tidak boleh dimansuhkan maklumat yang bertentangan dengan maklumat yang terdapat dalam ayat sebelumnya.


Contohnya:

“Kelmarin dia tidur sehari suntuk.” “Kelmarin dia tidur sehingga jam 9.00 pagi.”


       Tahap Tujuan dan Penerimaan
Setiap wacana yang diujarkan sama ada dalam bentuk tulisan atau lisan perlu mempunyai tujuan. Tujuan sesuatu wacana ini ditentukan oleh penghasil wacana tersebut sama ada penulis atau pembacanya. Sesuatu wacana perlu mempunyai tujuan untuk menimbulkan interaksi yang komunikatif. Tujuan ini akan menentukan jenis wacana yang digunakan. Jika tujuan seseorang adalah untuk mendapatkan maklumat, ayat yang sering digunakan ialah ayat Tanya, tetapi jika seseorang itu ingin menyatakan atau menerangkan sesuatu, ayat yang digunakan ialah ayat penyata.

Manakala penerimaan ialah sesuatu wacana sama ada lisan atau tulisan, perlu mempunyai pendengar atau pembaca. Pendengar dan pembaca merupakan penerima sesuatu wacana. Tahap penerimaan seseorang itu tinggi jika pendengar atau pembaca memahami sepenuhnya wacana yang diujarkan sama ada dalam bentuk tulisan atau lisan. Oleh itu, tahap penerimaan adalah tinggi apabila tahap tujuan sama dengan tahap penerimaan.

Sumber: http://gurubahasamelayu.blogspot.my/2009/07/wacana-bahasa-melayu.html

No comments:

Post a Comment